KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok membangkitkan isu agar projek pencetakan buku ‘Mari Kenali Sawit’ yang diedar ke sekolah di seluruh negara diaudit semula Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK).
Katanya projek kendalian Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) disifatkan ‘tidak masuk akal’ susulan peruntukkan membabitkan hampir RM4 juta.
Sebanyak 210,060 buku dicetak bagi kegunaan sekolah rendah, manakala 62,475 lagi versi sekolah menengah, masing-masing berharga RM13.30 dan RM19.30 seunit.
“Yang Berhormat tahu (perincian) kos percetakan sebab ketika pilihan raya kita memang buat pencetakan bahan publisiti.
“Bagaimana buku seperti ini boleh berharga RM13.30 dan RM19.30.
“Menteri perlu jalankan siasatan dan audit projek ini, adakah buku ini dihantar ke semua sekolah serta ke 144 Pejabat Pendidikan Daerah di seluruh negara,” katanya yang juga Naib Pengerusi DAP.
Beliau membangkitkan isu itu semasa perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 peringkat Jawatankuasa bagi KPK di Dewan Rakyat, semalam.
Mengulas lanjut di Lobi Parlimen, Teresa yang juga bekas Menteri Industri Utama menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat perkara terbabit.
Beliau memaklumkan sudah mengadakan pertemuan dengan pengusaha percetakan di ibu negara bagi mendapatkan kepastian berhubung kos sebenar pencetakan buku berkenaan.
“Itu sebab saya bangkitkan di Dewan Rakyat tadi. Menteri perlu siasat dan umumkan kepada semua, selain SPRM mungkin perlu masuk (siasat) adakah ini berasas,” katanya.
Pada April 2022, bekas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin, dilaporkan berkata, sebanyak 300,000 buku berkenaan diedar ke sekolah terpilih di seluruh negara. — BERITA HARIAN