Tumpuan :
Nasional

Tidak mampu biayai kos kelahiran, jenazah bayi didakwa ditahan pihak hospital

Pihak UKVJ menguruskan jenazah bayi berkenaan. – Tangkap layar FB Mr Wan Cai Official

SHAH ALAM: Tular di media sosial seorang bayi lelaki yang dilahirkan tidak sempurna dan didakwa dihina oleh pihak pengurusan sebuah hospital swasta di Klang.

Menurut satu hantaran di Facebook yang dibuat oleh pengasas Unit Khas Van Jenazah (UKVJ), Mr Wan Cai Official, bayi lelaki yang diberi nama Adham itu dilahirkan dalam keadaan tidak cukup sifat.

Wan Cai mendedahkan, bayi berkenaan di simpan selama dua minggu di dalam peti beku selain ibu bayi ditahan oleh pihak hospital kerana tidak membayar kos rawatan di situ.

Beliau mempersoalkan motif pihak hospital menahan ibu bersama jasad bayi dan mempertikaikan sifat perimanusiaan doktor di hospital terbabit.

“Dalam isu yang berlaku, jelas tindakan pemilik hospital menahan jenazah adik Adham dari diuruskan adalah satu tindakan tidak wajar dan kejam.

“Seperti yang dimaklumkan, pihak hospital menahan ibunya keluar dari wad selagi bayaran tidak dibuat oleh si ayah.

“Yang menjadi persoalan, kenapa jenazah adik Adham perlu ditahan dan disimpan di dalam peti sejuk mayat selama dua minggu?

“Bukankah si ibu sudah ditahan untuk dijadikan jaminan kepada pihak hospital,” soal Wan Cai menerusi hantaran itu.

Beliau difahamkan bil yang sepatutnya dibayar kepada pihak hospital dianggarkan kira-kira RM3,600 dan dijelaskan oleh si ayah pada jam 11 pagi semalam.

Wan Cai menjelaskan, pihaknya yang menguruskan bayi itu terpaksa menggunakan air panas yang dicampur air paip bagi melembutkan tubuh dan sendi-sendi jenazah bayi berkenaan.

Menurut hantaran itu juga, Wan Cai memaklumkan ibu bayi berkenaan mengadu sakit sebelum dihantar oleh jiran ke sebuah hospital swasta.

“Ketika kejadian suaminya sedang bekerja dan bergegas ke hospital selepas dimaklumkan tentang keadaan isterinya,” katanya.

Pada hantaran itu, satu video menunjukkan jenazah bayi berkenaan dimandikan, disolatkan dan dikebumikan di sebuah tanah perkuburan di negeri ini, semalam.

Katanya, pengurusan jenazah bayi itu menggunakan hasil sumbangan orang ramai kepada pihak pengurusan jenazah berkenaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini