comscore
Tumpuan :
Nasional

Tidak kompromi isu buli di sekolah – Fadhlina

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil maklum berkenaan isu buli yang dibangkitkan seorang murid sekolah melalui surat yang dikongsi dan dimuat naik oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata KPM tidak akan berkompromi berkenaan hal itu untuk melindungi identiti murid yang terbabit dan berharap semua pihak dapat menyediakan suasana sifar isu perkauman di sekolah dan rumah.

Katanya, sekolah sepatutnya menjadi tempat paling selamat untuk murid dan saling hidup harmoni.

“Selain itu, guru juga diharap dapat memberikan contoh teladan terbaik dalam mempamerkan aspek kepimpinan dan mencerminkan kasih kepada murid-murid.

“Dalam suasana iklim politik di dalam sosial media, harus kita akui anak-anak antara yang akan paling mudah untuk menyerap segala maklumat yang diterima.

“Justeru jadikan cuti sekolah ini sebagai ruang untuk mewujudkan ekosistem harmoni dan saling hormat menghormati antara satu sama lain,” katanya kepada BH, di sini, hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta KPM menyiasat dalam kadar segera berkenaan isu buli yang dihadapi oleh murid sekolah.

Ini susulan satu gambar surat luahan murid dibuli diterima oleh Anwar di mana murid itu meminta perkara itu diberi perhatian.

Dalam surat berkenaan, pelajar itu menyatakan dia dibuli oleh beberapa murid lain, namun didakwa guru itu tidak mengenakan sebarang tindakan, malah dilihat bersikap rasis.

Justeru murid itu memohon kepada Anwar untuk memastikan perkara ini tidak berlaku lagi.

Loading...
Terkini