comscore
Tumpuan :
Nasional

Tidak bersih, kafetaria Parlimen diarah tutup 14 hari

KUALA LUMPUR: Sebuah kafetaria di bangunan utama Parlimen diarahkan tutup selama 14 hari bermula hari ini.

Notis Perintah Tutup Premis Makanan berkenaan dikeluarkan Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan berdasarkan Seksyen 11, Akta Makanan 1983, selepas pemeriksaan ia tidak bersih sehingga kemungkinan mendatangkan bahaya kepada orang awam.

Berdasarkan notis yang tular di WhatsApp, penutupan berkuat kuasa 6 petang tadi sehingga 26 November.

Sementara itu, isu penutupan kafetaria yang terkenal dalam kalangan ahli parlimen dan petugas di bangunan itu turut mendapat perhatian dalam persidangan Dewan Rakyat, malam ini.

Perkara itu dibangkitkan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng ketika mencelah sebelum sesi penggulungan Rang-Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025, peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kewangan bermula.

“Berkaitan saman dikeluarkan ke atas kantin (kafetaria) Parlimen yang diarah tutup untuk 14 hari.

“Tan Sri Yang di-Pertua, saya rasa ini satu perkara tidak sepatutnya berlaku. Kalau kantin Parlimen boleh dianggap tidak bersih, macam mana pula makanan seluruh negara kerana ia memberikan satu tanda simbolik yang amat negatif.

“Jadi kita di sini nak dapatkan petua dan panduan daripada Tan Sri Yang di-Pertua macam mana kita harus menangani masalah ini. Kalau tak ini akan mencemarkan imej Parlimen,” katanya.

Sebaik mendengar itu, Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul memberitahu beliau akan mengadakan pertemuan dengan pihak yang berkaitan.

“Selepas persidangan ini saya akan panggil semua pihak yang terlibat berjumpa saya dan saya nak tahu apa sebenarnya terjadi.

“Insya -Allah esok saya akan maklumkan apakah hasil siasatan saya malam ini,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini