comscore
Tumpuan :
Nasional

“Tidak ada sedikit pun bau darah, malah bau wangi” – Nurul Ain

Oleh: Nini Shahira Anuar 

PETALING JAYA: Terkandas di bumi Gaza selama 42 hari bukanlah satu peristiwa yang mudah untuk dikongsikan oleh Nurul Ain Haron yang tiba di tanah air bersama suaminya iaitu warga Palestin Mohamed A.M. Shaat pada 15 November lalu.

Tujuan asal ingin menziarahi keluarga mertua di Gaza buat pertama kali berakhir dengan peristiwa yang tidak dapat dilupakan sepanjang hidup.

“Saya tidak sangka perkara ini berlaku kepada saya sebab hati saya separuh di Gaza separuh di sini (Malaysia) jadi tidak mudah untuk saya” katanya dalam program bual bicara Malaysia Hari Ini (MHI) TV3.

Berkongsi kisah yang tidak dapat dilupakan ketika di Gaza adalah ketika salah seorang ahli keluarga abang iparnya syahid.

“Tiga hari sebelum dia syahid, dia sempat masak untuk kami, berbual dengan kami masa itu pun saya baru pertama kali jumpa beliau. Selepas tiga hari, kami mendapat perkhabaran yang rumah beliau telah dibedil namun kami masih berfikiran positif dan saya bercakap pada suami insya-Allah yang dia selamat” katanya.

Menurutnya, mereka telah pergi ke tempat kejadian iaitu rumahnya namun keadaan musnah seratus peratus dan mereka telah memutuskan untuk pergi ke hospital untuk proses pengecaman mayat.

“Ini ialah perkara baru untuk saya, di hadapan saya ada lebih daripada sepuluh mayat yang berlumuran darah yang ahli keluarga datang untuk mengecam, ada yang merintih tapi rintihan tersebut bukanlah seperti kenapa kau amik anak aku.. tidak.

“Rintihan tersebut alhamdulillah, alhamdulillah syahid ya Allah dan tidak ada sedikit pun bau darah, malah bau wangi” katanya.

Nurul Ain dan suami mendapat perkhabaran tentang saudaranya yang syahid sejurus mereka tiba di rumah selepas gagal menemukan mayat di hospital.

Nurul Ain dalam keadaan sebak mengucap ‘alhamdulillah’ ketika bercakap tentang saudaranya yang mati syahid itu.

Terdahulu media melaporkan ketibaan Nurul Ain dan suami di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Lapangan Terbang Antarabangsa Doha, pada jam 8:55 malam.

Ketibaan Nurul Ain dan suami disambut bapa, Haron Hamim, 65, ibu, Mastura Yusof, 61, adik bongsu, Puteri Dania Qistina Haron, 15 bersama ahli keluarganya yang lain.

Nurul Ain ketika ditemui berkata, dia terpaksa keluar dari Gaza kerana keadaan yang semakin meruncing.

Akuinya, keadaan di Gaza sekarang serba kekurangan dan beliau sedih kerana tidak dapat memberikan sumbangan rakyat Malaysia kepada penduduk di sana kerana kekangan dan halangan rejim Zionis.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini