Tumpuan :
Nasional

Tiada varian BA.2.86 dikesan di Malaysia -Dr Zaliha

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa .- Foto fail NSTP

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan varian BA.2.86 belum dikesan di negara ini.

Bagaimanapun Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, berkata individu layak menerima vaksin COVID-19 digalakkan segera mendapatkannya.

“Langkah itu sebagai perlindungan selain mengurangkan risiko kemasukan ke hospital dan keterukan gejala.

“Justeru KKM menasihatkan orang ramai memakai pelitup muka terutama mereka bergejala atau apabila berada di tempat tertutup, sempit dan sesak bagi melindungi keluarga, jiran dan sahabat handai daripada mendapat jangkitan COVID-19,” katanya.

Sabtu lalu, Agensi Keselamatan Kesihatan United Kingdom UKHSA mengenal pasti varian baharu COVID-19 dengan ‘bilangan mutasi yang tinggi’ dikesan di Britain.

Mutasi BA.2.86 itu dikesan membabitkan seorang individu yang tidak mempunyai sejarah perjalanan baru-baru ini, sekali gus bermakna terdapat penularan dalam komuniti.

Dr Zaliha berkata, meskipun tiada jangkitan direkodkan, KKM akan membuat pemantauan berterusan bagi mengekang penularan varian itu.

Untuk rekod, WHO menyenaraikan varian BA.2.86 sebagai varian di bawah pemantauan (Variant Under Monitoring).

Varian terbabit mempunyai 36 mutasi berbanding dengan varian XBB.1.5.

Varian itu juga dikenali sebagai ‘Pirola’ dan dikesan di empat negara setakat ini iaitu Denmark, United Kingdom, dan Amerika Syarikat.

WHO turut memaklumkan lebih banyak maklumat mengenai varian itu perlu diperoleh termasuk kadar jangkitan atau tahap kerintangan imuniti.

Loading...
Terkini