comscore
Tumpuan :
Nasional

Tiada unsur rasuah, SPRM tidak campur tangan siasatan GISBH 

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak melihat sebarang unsur rasuah membabitkan siasatan terhadap Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH).

Sehubungan itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya tidak akan mencampuri siasatan yang sedang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Yang ini kita serah kepada polis kerana saya tidak nampak isu rasuah di sini.

“Jadi pihak polis boleh meneruskan siasatan tanpa campur tangan daripada pihak SPRM,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Polis melalui Op Global dijalankan 11 September lalu, menyelamatkan 402 kanak-kanak dan remaja berusia setahun hingga 17 tahun dari 20 rumah amal sekitar Selangor dan Negeri Sembilan yang dikaitkan dengan GISBH.

Mangsa terdiri 201 kanak-kanak serta remaja lelaki dan 201 perempuan yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi, pengabaian dan penganiayaan.

Dalam operasi itu, pihak berkuasa turut menahan 171 individu terdiri daripada kakitangan, pengurus dan ustaz di rumah amal berkenaan sebelum 159 daripadanya direman antara empat hingga tujuh hari.

Pada sidang media semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan PDRM membekukan 96 akaun bank membabitkan GISBH dianggarkan bernilai lebih RM581,552.31 mengikut Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Semalam, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim turut menitahkan PDRM menjalankan siasatan segera dan menyeluruh berkaitan isu jenayah serta penganiayaan kanak-kanak dikaitkan dengan rumah amal GISBH.

Seri Paduka Baginda memandang serius perkara itu selepas pelbagai berita dilaporkan serta disiarkan di media massa mengenai rumah amal berkenaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini