KUALA LUMPUR: Siasatan berhubung tindakan individu Muslim membaca doa dalam majlis yang turut disertai upacara keagamaan penganut lain, polis menyerahkannya kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, siasatan lanjut akan dilakukan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) jika ada unsur jenayah pada majlis itu.
“Setakat ini, tiada unsur jenayah dan ia lebih kepada isu agama. Maka, JAWI akan lakukan siasatan,” katanya.
Semalam, media melaporkan polis Kuala Lumpur menerima satu laporan berhubung isu itu pada 22 Ogos lalu dan siasatan dilakukan oleh JSJT Bukit Aman.
Terdahulu, JAWI dilaporkan akan melakukan siasatan lanjut berhubung isu terbabit bagi memastikan amalan itu tidak mengandungi unsur menyalahi pandangan hukum atau fatwa.
Menurut kenyataan dikeluarkan JAWI itu, sebarang kesalahan berhubungan dengan akidah boleh dikenakan tindakan undang-undang dan hukuman di bawah Akta 559, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.
Sebelum ini, satu rakaman siaran langsung majlis program pecah tanah itu yang berlangsung hampir satu jam di Facebook oleh sebuah akhbar tempatan tular di media sosial, baru-baru ini.