comscore
Tumpuan :
Nasional

Tiada tolak ansur terhadap kesalahan seksual – KPM

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) menegaskan tiada tolak ansur terhadap kesalahan seksual di semua institusi pendidikan di bawah seliaanya.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan hari ini, KPM memaklumkan pihaknya bersedia memberi kerjasama penuh kepada siasatan yang sedang dijalankan oleh pihak berkuasa mengenai siasatan ke atas seorang guru wanita yang didakwa melakukan kesalahan seksual terhadap pelajar lelaki berusia 16 tahun.

“KPM memandang serius kes salah laku seksual yang melibatkan guru dan murid seperti yang dilaporkan oleh media.

“Kes ini berada dalam perhatian KPM dan tindakan telah diambil mengikut garis panduan sedia ada,” menurut kenyataan itu.

KPM dalam pada itu turut menyeru semua pihak untuk melaporkan kes jenayah seksual supaya tindakan tegas dapat diambil.

“Institusi pendidikan di bawah KPM diminta untuk mematuhi Garis Panduan Pengurusan Salah Laku Seksual yang sedang berkuat kuasa bertujuan untuk memelihara keselamatan dan kesejahteraan murid,” menurut kenyataan itu.

Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusoff berkata polis menerima laporan pada 12 Dis lepas yang mendakwa suspek yang berusia 37 tahun mencabul mangsa, ketika mengulang kaji pelajaran bersama guru terbabit di perpustakaan.

Wan Kamarul Azran berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak yang membawa hukuman penjara tidak lebih 10 tahun dan sebatan.– BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini