KUALA LUMPUR: Tiada tanda-tanda faktor semulajadi yang menjadi punca insiden tanah runtuh yang berlaku berhampiran Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) di Persiaran Tuanku Syed Sirajuddin tengahari tadi.
Menteri Kerja Raya, Menteri, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata berdasarkan siasatan awal, kebocoran pair air bawah tanah berkemungkinan menyumbang kepada insiden itu.
“Berdasarkan siasatan awal, saya dimaklumkan kebocoran pair air bawah tanah berkemungkinan menyumbang kepada insiden ini.
“Buat masa ini, tiada tanda-tanda faktor semulajadi yang dikenalpasti menyebabkan runtuhan.
“Bagaimanapun, Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang menjalankan siasatan lanjut dan terperinci,” katanya menerusi ciapan Twitter, malam ini.
Alexander berkata, semua pihak diharap memberikan kerjasama serta mematuhi arahan pihak berkuasa bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
“Dalam kemeriahan menyambut Aidilfitri, kita dikejutkan dengan insiden tanah runtuh yang berlaku berhampiran MACA di Persiaran Tuanku Syed Sirajuddin hari ini,” katanya.
Kira-kira 1 tengahari tadi, berlaku runtuhan tanah berdekatan bangunan MACA milik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Jalan Duta.
Kejadian itu turut menyebabkan pondok keselamatan di bangunan berkenaan runtuh.