PETALING JAYA: Tular di media sosial, video serta gambar pergaduhan dipercayai melibatkan penyokong Selangor FC dan Perak FC di luar stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya semalam, sehingga ada yang mengalami kecederaan di muka.
Difahamkan, kekecohan berlaku sebelum perlawanan antara kedua-dua pasukan bola sepak itu.
Dalam insiden berkenaan, beberapa kenderaan turut dirosakkan oleh segelintir penyokong.
Melalui video dan gambar yang tersebar juga, kelihatan beberapa penyokong menerima rawatan di kepala akibat pergaduhan itu dan penyokong Perak FC turut tidak dibenarkan keluar dari stadium atas faktor keselamatan.
Meninjau ruangan komen di Facebook Panas_Ais, rata-rata netizen menyuarakan kemarahan mereka dengan kejadian terbaharu itu.
“Ini gaduh bukan lepas perlawanan, sebelum perlawanan lagi. Budak-budak casual Perak ICF bantai (pukul) penyokong Selangor FC,” kata Izat Danial.
“Lihat bola pun nak begaduh. Sukan sepatutnya kita bersatu, baru dapat maju,” kata Microsoft Janggu.
“Orang pergi stadium nak beegembira. Seronok tengok perlawanan. Menang kalah belakang cerita. Engkau orang ini apa bendalah. Tiada tamadun langsung. Sampai nk berbunuh,” kata Shary Ima.
Setakat ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bahagian Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya mengesahkan belum menerima sebarang laporan daripada mangsa yang terlibat dalam pergaduhan, semalam.