Tumpuan :
Nasional

Tiada straw plastik di bazar Ramadan sekitar Sepang tahun depan

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

SEPANG: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) berhasrat untuk melaksanakan program sifar penggunaan penyedut minuman plastik (straw) di bazar Ramadan di bawah seliaannya tahun depan.

Timbalan Yang Dipertua MPSepang, Muhamad Shah Osmin berkata, pihaknya akan menambah baik inisiatif penggunaan bebas plastik sekali guna selari pelaksanaan Kempen Bebas Plastik Tahun 2025.

“Secara tidak langsung, dengan pelaksanaan program ini, dapat memberi kesedaran dan
pendedahan kepada masyarakat setempat betapa pentingnya kita di dalam menjaga alam sekitar dengan menyokong kempen-kempen ini,” katanya dalam perutusan sempena Mesyuarat Penuh Ahli-Ahli Majlis MPSepang Bil 12/2024, di sini hari ini.

Tambahnya, pengunjung turut digalakkan membawa bekas makanan sendiri atau ‘bring your own’ ke bazar Ramadan bagi menyokong kempen yang dilaksanakan.

Setiap peniaga juga diwajibkan untuk mempunyai transaksi pembayaran tanpa tunai, sejak ia mula dilaksanakan sepenuhnya pada tahun 2022.

Bazar Ramadan SIC dibuka

Mengulas lanjut, menurut Muhamad Shah, Bazar Ramadan Sepang International Curcuit (SIC) menjadi bazar Ramadan terbaharu yang diperkenalkan oleh pihak MPSepang dengan kerjasama pengurusan SIC.

Selain itu, Bazar Ramadan Sepang Putra dibuka semula susulan terdapat permintaan dan pertambahan penduduk di kawasan tersebut.

Pengenalan baharu dan pembukaan semula itu menjadikan sebanyak 12 lokasi bazar Ramadan tahun depan melibatkan 886 petak bazar.

Lokasi bazar adalah di Bazar Ramadan Kip Mall, Bazar Ramadan Cyberjaya, Bazar Ramadan Taman Mas, Bazar Ramadan Desa Pinggiran Putera, Bazar Ramadan Kosmopleks dan Bazar Ramadan Taman Putra Perdana.

Lokasi lain termasuk di Bazar Ramadan Sungai Merab BR, Bazar Ramadan Dengkil Jaya, Bazar Ramadan Dengkil dan Bazar Ramadan Sungai Pelek.

“Dengan adanya bazar Ramadan, komuniti setempat dapat menjimatkan masa membeli juadah berbuka puasa sekali gus membantu menyokong pertumbuhan ekonomi peniaga kecil di dalam daerah Sepang selain menjadi daya tarikan dan tumpuan pelancong,” katanya.

Jelasnya, permohonan bazar Ramadan dibuka secara dalam talian bermula pada 9 Disember lalu sehingga 6 Januari 2025.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini