Tumpuan :
Nasional

Tiada rakyat Malaysia terlibat dalam nahas pesawat di Kazakhstan

PUTRAJAYA: Tiada rakyat Malaysia yang terlibat dalam nahas tragik membabitkan pesawat Azerbaijan Airlines, Penerbangan J2-8243 berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Aktau, Kazakhstan, awal Rabu.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan mengesahkan perkara itu dan mengucapkan takziah yang mendalam kepada keluarga mangsa serta mendoakan kesembuhan kepada mereka yang cedera.

“Kami akan terus memantau situasi dengan teliti,” menurut Kementerian Luar yang juga dikenali sebagai Wisma Putra.

Untuk bantuan atau maklumat lanjut, rakyat Malaysia boleh menghubungi Kedutaan Malaysia di 26 Sarayshyk Street, Diplomatic District, 010000 Astana, Kazakhstan atau hubungi +7 (7172) 79 06 90, +7 (7172) 79 06 95, atau +7 777 079 0014, atau melalui e-mel ke [email protected].

Menurut laporan media antarabangsa, pesawat Embraer 190 itu dalam penerbangan dari Baku ke Grozny apabila ia terbakar semasa pendaratan cemas berhampiran Aktau.

Pihak berkuasa melaporkan puluhan kematian, dengan sekurang-kurangnya 28 orang yang terselamat, termasuk dua kanak-kanak, yang telah dimasukkan ke hospital.

Pesawat itu membawa seramai 67 orang, termasuk lima kru.-BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini