KUALA LUMPUR: Wisma Putra mengesahkan tiada penglibatan rakyat Malaysia dalam insiden nahas membabitkan pesawat komersial Jeju Air penerbangan 2216 yang tergelincir dari landasan dan terhempas di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan, Republik Korea Selatan pada Sabtu.
Dalam satu kenyataan, Wisma Putra memaklumkan bahawa Kedutaan Besar Malaysia di Seoul sedang memantau perkembangan insiden tersebut dengan rapi dan terus berhubung dengan pihak berkuasa tempatan untuk mendapatkan maklumat terkini.
“Kedutaan Besar Malaysia di Seoul giat mengumpul maklumat rasmi. Setakat ini, tiada pengesahan tentang penglibatan warganegara Malaysia dalam insiden tersebut,” menurut kenyataan itu.
Tedahulu, sebuah pesawat yang membawa 181 orang terhempas di Lapangan Terbang Muan, Korea Selatan, lapor agensi berita Yonhap pada Ahad.
Difahamkan, pesawat itu membawa 175 penumpang dan enam anak kapal. Setakat ini, 62 orang dilaporkan maut manakala jumlah yang cedera belum diketahui.
Nahas berlaku ketika pesawat Jeju Air yang membawa 175 penumpang dan enam anak kapal dalam penerbangan dari Thailand itu mendarat di lapangan terbang di selatan negara itu.
Menurut laporan awal, dua individu ditemui masih hidup ketika misi menyelamat diteruskan, lapor Yonhap.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.