comscore
Tumpuan :
Nasional

Tiada rakyat Malaysia terjejas banjir besar di Valencia

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Tiada rakyat Malaysia yang dilaporkan terjejas setakat ini berikutan situasi banjir besar yang melanda kawasan timur Valencia, Sepanyol.

Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan, Kedutaan Besar Malaysia di Madrid sedang memantau situasi bencana berkenaan susulan hujan lebat yang berterusan sejak Selasa lalu.

“Rakyat Malaysia yang berada di kawasan berkenaan dinasihatkan agar berwaspada dan mematuhi panduan terkini yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan,” katanya.

Wisma Putra turut menggalakkan mereka yang belum mendaftar atau mengemas kini keberadaan dan maklumat diri untuk berbuat demikian di portal https://ekonsular.kln.gov.my.

Pada masa sama, Malaysia merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada kerajaan serta rakyat Sepanyol khususnya kepada mangsa yang terkesan akibat banjir terbabit.

“Malaysia mendoakan agar mereka yang cedera segera sembuh dan usaha membaik pulih harta benda serta infrastruktur dapat dilaksanakan dengan lancar,” katanya.

Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular atau mempunyai pertanyaan lanjut boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Madrid di alamat Ave. de los Madroños 63B, 28043 Madrid.

Selain itu, mereka boleh menghubungi kedutaan di talian +34659894943 (24 jam) atau e-mel ke [email protected].

Sekurang-kurangnya 95 orang terkorban dalam banjir paling dahsyat di Sepanyol dalam tempoh tiga dekad.

Angka korban terbaharu itu diumumkan selepas banjir dalam tempoh satu malam dicetuskan oleh ribut terburuk abad ini.

Ribut itu setanding dengan dua ribut lain pada 1980-an, lapor Agensi Anadolu yang memetik agensi meteorologi Sepanyol.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini