Tumpuan :
Nasional

Tiada petunjuk baharu, operasi carilamat nelayan hilang ditamatkan

Op carilamat bagi mengesan mangsa terkahir VVNT yang karam di perairan Pulau Burong dihentikan hari ini susulan tiada petunjuk baharu ditemui.

Oleh: Kadir Edison

KUCHING: Operasi mencari dan menyelamat (carilamat) untuk mengesan mangsa terakhir vesel nelayan tempatan (VVNT) yang karam di perairan Pulau Burong, Kuching, Sarawak, sejak 17 Disember lalu, ditamatkan selepas lima hari.

Mangsa yang hilang disahkan sebagai warganegara Thailand, Chaloem Sonada.

Pengarah Maritim Negeri Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin Jusoh berkata, operasi itu dihentikan sepenuhnya pada jam 6.00 petang tadi setelah tiada sebarang petunjuk baharu ditemui.

“Bagaimanapun, operasi akan disambung semula sekiranya terdapat sebarang penemuan atau petunjuk baharu diperoleh.

“Keluasan pencarian hari ini adalah 439.97 batu nautika persegi, menjadikan jumlah keseluruhan radius pencarian dari hari pertama hingga kelima mencecah 1,671.92 batu nautika persegi, meliputi perairan Tanjung Sipang hingga ke kawasan Triso,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada 23 Disember lalu, polis menerima laporan daripada seorang pengadu tempatan mengenai sebuah kapal ikan bersama enam kru yang gagal dihubungi sejak jam 10 pagi hari sebelumnya.

Susulan itu, misi carilamat diaktifkan. Pada hari pertama, sebuah kapal nelayan tempatan berjaya menyelamatkan tiga kru kapal berusia antara 23 hingga 32 tahun, kesemuanya warganegara asing yang memakai jaket keselamatan di perairan Tanjung Sipang.

Pada 24 Disember, seorang lagi mangsa ditemukan selamat oleh nelayan tempatan berhampiran kawasan Sungai Serpan Laut, Asajaya.

Mangsa kelima pula diselamatkan oleh sebuah kapal di Tanjung Po, Muara Tebas, namun kru kapal itu membawanya ke Sibu kira-kira jam 3 petang pada 23 Disember.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini