comscore
Tumpuan :
Nasional

Tiada pertindihan fungsi, KPK tiada masalah badan berkanun dikurangkan

Oleh: Rusyaidi Hafiz Shahid

KUALA LUMPUR: Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) tidak mempunyai isu pertindihan bidang kuasa dalam badan berkanun sehingga ke tahap mengurangkan dan menyusun semula agensi kerajaan di bawahnya.

Menteri Perladangan Dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani bagaimanapun, tidak menganggap strategi kerajaan ke arah mengurangkan jumlah badan berkanun sebagai masalah asalkan ia memberi manfaat kepada negara dan rakyat.

Katanya, terdapat sebahagian daripada agensi kerajaan di bawah kementerian perladangan menyaksikan peranannya mengecil yang mewajarkan alasan agensi itu disatukan.

Namun beliau tidak menyebut badan berkanun secara khusus.

“Kementerian tiada pertindihan fungsi, cuma ada peranan agensi yang bertambah kecil contohnya daripada pertanian yang kerajaan lakukan sudah mengecil.

“Maka, kementerian rasa mungkin sebahagian daripadanya boleh disatukan, jadi di dalam agensi ini nanti akan ada yang menguruskan koko, kenaf dan lain-lain.

“Jadi, kementerian tiada masalah yang penting agensi ini bermanfaat kepada kerajaan untuk menerima kesan daripada penglibatan agensi ini kepada seluruh rantaian ekonomi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Ekzema Sedunia 2024 di Hospital Kuala Lumpur.

Pada 4 September lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar memaklumkan kerajaan mengurangkan jumlah badan berkanun berkuat kuasa serta-merta bagi menangani isu pertindihan fungsi dan penjimatan dana negara dengan penubuhan Sekretariat Kajian Rasionalisasi Badan Berkanun Persekutuan.

Katanya, langkah itu sebahagian daripada reforma­si perkhidmatan awam dan badan berkanun termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).

Menurut Datuk Seri Anwar, jumlah badan berkanun terlalu banyak, malah bertindih dan menjadi punca berlaku perbelanjaan tidak terkawal.

Antaranya Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), FGV Holdings Berhad, Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah, Lembaga Tabung Haji, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur, Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Koridor Wilayah Sabah, Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar serta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini