comscore
Tumpuan :
Nasional

Tiada permohonan, kelulusan cari gali minyak di Taman Marin Tun Mustapha

Peta menunjukkan kawasan Taman Marin Tun Mustapha di utara Sabah. -FOTO Ihsan Sabah Parks

KOTA KINABALU: Tiada sebarang kelulusan dikeluarkan Taman-Taman Sabah bagi aktiviti cari gali minyak dan gas yang didakwa berlaku di kawasan Taman Marin Tun Mustapha, di utara Sabah.

Menerusi satu kenyataan, di sini, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew berkata, sebarang aktiviti dalam kawasan perlindungan diwartakan kerajaan negeri perlu mendapat kelulusan sebelum boleh dimulakan.

“Sehingga kini, pihak berkuasa bagi Taman Marin Tun Mustapha tiada menerima sebarang permohonan atau memberi kelulusan berkaitan aktiviti cari gali minyak dan gas di dalam kawasan taman berkenaan.

“Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) melalui Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah bertanggungjawab memastikan ekosistem hidupan marin di kawasan perlindungan terpelihara sepenuhnya selaras dengan Enakmen Taman-Taman 1984 dan undang-undang negeri yang berkaitan,” katanya.

Taman Marin Tun Mustapha yang berkeluasan 898,762.76 hektar merangkumi tiga daerah di utara Sabah, iaitu Kudat, Kota Marudu dan Pitas diwartakan sebagai taman marin di bawah Enakmen Taman-Taman 1984 pada 2016.

Christina berkata, KePKAS dan Jabatan Perlindungan Alam Sekitar (JPAS) juga sudah mendapatkan pengesahan daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang mengesahkan tiada sebarang laporan Penilaian Alam Sekitar (EIA) dikemukakan berhubung aktiviti cari gali minyak di taman marin itu.

Sebelum ini, syarikat milik kerajaan negeri, SMJ Energy Sdn Bhd menafikan terbabit dalam sebarang penerokaan minyak dan gas di taman laut yang dilindungi di Sabah.

Menerusi satu kenyataan sebelum ini, syarikat itu menjelaskan bahawa pada masa ini ia tidak mempunyai pegangan ekuiti dalam kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) di lokasi cari gali yang dimaksudkan.

Katanya, ia juga bukan pihak dalam perjanjian untuk menjalankan aktiviti minyak dan gas di Blok SB-403 yang didakwa berada dalam kawasan taman marin, iaitu kawasan penerokaan minyak luar pesisir di utara Sabah yang meliputi 10,256 kilometer persegi.

Sebelum itu, badan pemerhati alam sekitar, RimbaWatch menggesa kerajaan Sabah tidak meluluskan sebarang aktiviti penerokaan minyak dan gas dalam Blok SB-403 itu yang terletak dalam Taman Marin Tun Mustapha.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini