ALOR SETAR: Agensi di bawah pentadbiran kerajaan negeri tidak pernah memberikan permit atau kelulusan untuk penganjuran konsert di Taman Jubli Emas pada malam ‘nisfu Syaaban’ malam semalam.
Sehubungan itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan negeri, Mansor Zakaria berkata, kerajaan negeri akan memanggil penganjur untuk mendapatkan penjelasan, sebelum memutuskan tindakan susulan mengikut undang-undang.
Mengulas lanjut, katanya, memang terdapat permohonan dikemukakan kepada kerajaan negeri, namun ia tidak dinyatakan mengenai cadangan konsert atau pertunjukan pentas seperti yang tular di media sosial.
“Kerajaan negeri mengambil maklum perkara itu melibatkan konsert di Taman Jubli Emas di Alor Setar pada malam 24 Februari.
“Penganjur memohon untuk mengadakan karnival jualan dan acara-acara yang dibenarkan mengikut garis panduan kerajaan negeri sahaja dan itulah yang diluluskan.
“Justeru penganjuran konsert adalah tanpa kebenaran mana-mana agensi kerajaan negeri dan ini adalah satu pelanggaran syarat yang sangat serius oleh penganjur,” katanya melalui kenyataan.
Mansor berkata, mana-mana pihak yang melanggar syarat setelah diberikan kelulusan untuk menganjurkan sesuatu acara akan disenarai hitam daripada terbabit apa jua program di negeri ini pada masa akan datang.
Terdahulu tular video berdurasi 22 saat memaparkan aksi penonton melompat dan menari ketika persembahan konsert di Taman Jubli Emas, sehingga mengundang kritikan berikutan diadakan pada malam ‘nisfu Syaaban’.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.