Tumpuan :
Nasional

Tiada permit kerja yang sah, empat awak-awak warganegara Myanmar ditahan

FOTO: Ihsan APMM

Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah 

KEMAMAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Kemaman telah menahan sebuah vesel nelayan tempatan bersama lima awak-awak termasuk tekong yang berusia diantara 39 hingga 54 tahun ketika sedang menangkap ikan.

Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Ariffin bin Ghazali berkata, Vesel tersebut ditahan ketika bot ronda Maritim Malaysia melaksanakan rondaan rutin OP IMAN di sekitar perairan Terengganu dan telah memeriksa sebuah vesel nelayan tempatan dalam keadaan mencurigakan.

Kejadian berlaku di lokasi lebih kurang 11 Batu Nautika dari Kemaman kira-kira pukul 10.11 pagi semalam.

Hasil pemeriksaan mendapati, empat orang awak-awak warganegara Myanmar berada di atas vesel tersebut disyaki melanggar syarat sah lesen iaitu menggunakan kru asing tanpa surat kebenaran bertulis yang sah daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia .

Vesel beserta tekong warga tempatan dan empat awak-awak warganegara Myammar terbabit ditahan.

APMM turut merampas 1,200 kilogram hasil laut dan 4,000 liter minyak diesel.

Kes akan disiasat dibawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini