KANGAR: Kerajaan tiada sebarang perancangan untuk mengembalikan semula Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).
Menurut Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim, ketika dilaksanakan sebelum ini, pihaknya melihat PLKN mempunyai banyak kebaikan kepada golongan belia.
“Memang betul kita pernah ada PLKN yang membabitkan ramai golongan belia dan dalam program itu juga terdapat banyak kebaikan diperoleh menerusi pelaksanaan PLKN ini.”Namun begitu, kerajaan tiada perancangan untuk laksanakan semula PLKN buat masa ini.
“Walaupun begitu, sebelum kewujudan PLKN, kita jangan nafikan platform seperti Rakan Muda yang diwujudkan sejak 1994 dan dari awal lagi ia menjadi keperluan dalam menyediakan golongan belia untuk berdiri atas paksi mandiri,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri Perlis di Pusat Transformasi Bandar (UTC), di sini hari ini.
Katanya, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melihat inisiatif program Rakan Muda yang diberikan nafas baharu sebelum ini mampu dijadikan sebagai platform untuk membangunkan jati diri golongan belia di negara ini.
Menerusi pelancaran nafas baharu program Rakan Muda pada 25 Jun lalu, terdapat 10 inisiatif gaya hidup diperkenalkan meliputi Rakan Aktif, Rakan Demokrasi, Rakan Digital, Rakan Ekspresi, Rakan Litar, Rakan Bumi, Rakan Mahir, Rakan Muzik, Rakan Niaga dan Rakan Prihatin.
Mengulas lanjut, Adam berkata, melalui penjenamaan semula program Rakan Muda, pihaknya berharap semua aktiviti serta minat golongan belia dapat disalurkan ke program atau platform diminati mereka.
“Jadi dari situ akan ada program-program yang disediakan di bawah payung Rakan Muda khususnya untuk bangunkan jati diri golongan belia di negara ini,” katanya.
Dalam masa yang sama juga, terdapat sebilangan golongan belia yang tidak mengenali pemimpin pada masa kini dan ini berkemungkinan disebabkan perbezaan maklumat yang diterima mereka selama ini.
“Ada golongan belia yang tumpuan dan keperluannya adalah berbeza, jadi kita tak boleh pukul rata terhadap perkara ini.”Kalau mereka (golongan belia) tak kenal pemimpin, maka pemimpin itulah sepatutnya kena memperkenalkan diri mereka pada golongan belia,” katanya.
Sebelum ini terdapat gesaan daripada Pemuda UMNO Kangar yang mahukan kerajaan mewujudkan semula PLKN khusus buat pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Mereka melihat bahawa cadangan itu wajar dipertimbangkan memandangkan remaja masa kini seolah-olah tiada hala tuju dan hilang jati diri.