CYBERJAYA: Peniaga bazar Ramadan di bawah selian Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) dilarang menggunakan penyedut minuman plastik (straw) bermula Ramadan tahun depan.
Timbalan Yang Dipertua MPSepang, Muhamad Shah Osmin berkata, pihaknya akan menambah baik inisiatif penggunaan bebas plastik sekali guna selari pelaksanaan Kempen Bebas Plastik Tahun 2025.
Menurutnya, secara tidak langsung inisiatif ini dapat menyokong usaha kerajaan bagi mengurangkan penggunaan plastik dalam kalangan pengguna di negara ini.
Katanya, pengunjung turut digalakkan membawa bekas makanan sendiriketika berkunjung ke bazar Ramadan bagi menyokong kempen yang dilaksanakan.
“Peniaga juga diwajibkan untuk mempunyai transaksi pembayaran tanpa tunai bagi memudahkan pengunjung,” katanya pada perutusan sempena Mesyuarat Penuh Ahli-Ahli Majlis MPSepang Bil 12/2024, baru-baru ini.
Muhamad Shah berkata, permohonan bazar Ramadan di daerah Sepang dibuka secara dalam talian bermula 9 Disember lalu sehingga 6 Januari 2025.
Menurutnya,sebanyak 12 kawasan bazar Ramadan disediakan melibatkan 886 petak bazar dan keputusan permohonan dijangka diumumkan hujung Januari akan datang.
MPSepang turut bercadang menjadikan Bazar Ramadan Sepang International Curcuit (SIC) yang terbaharu sebagai tumpuan pelancong luar negara dengan menampilkan makanan tradisi yang terdapat di Selangor.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.