Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Tiada pengesanan penyakit ‘Newcastle Disease’ (ND) pada premis dan produk sarang burung walet yang dipantau oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) setakat ini.
Sehubungan itu, DVS dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya telah mengadakan sesi perbincangan dengan pengeluar dan pengeksport sarang burung walet Malaysia bagi memberikan maklumat terkini serta membincangkan langkah penyelesaian kepada penangguhan sementara pengeksportan produk berkenaan ke China.
“China melalui ‘General Administration of Customs of the People’s Republic of China’ (GACC) telah memohon DVS untuk menangguhkan sementara pengeksportan produk sarang burung walet yang melibatkan sarang burung walet mentah bersih dan belum bersih dari Malaysia bermula 20 Disember lalu selaras dengan ‘Protocol on Bird’s Nest Products Exported from Malaysia to China’.
“Tindakan penangguhan pengeksportan ini diambil berikutan laporan wabak ND yang dikesan pada ayam dan itik di Malaysia dalam tempoh Mac hingga Jun 2024 sebagaimana yang telah dilaporkan kepada ‘World Organisation of Animal Health’ (WOAH).
“Sehingga kini tiada pengesanan penyakit ND pada premis dan produk sarang burung walet yang dipantau oleh DVS,” menurut kenyataan itu.
DVS menyatakan, rentetan daripada penangguhan pengeksportan tersebut, sebanyak 22 konsainan yang berjumlah 1.769 tan metrik bernilai RM7.23 juta, terdiri daripada 13 syarikat pengeksport berhadapan dengan masalah pelepasan di pintu masuk China.
Mengulas lanjut, DVS telah menghantar laporan terperinci berkenaan status wabak termasuk tindakan pengurusan wabak ND di Malaysia kepada pihak GACC bagi menangani isu terbabit.
Tindakan itu juga bagi memberi jaminan untuk memastikan produk sarang burung walet yang dihantar ke republik tersebut adalah bebas daripada penyakit ND.
“Sebagai tindakan susulan kepada isu ini, DVS dalam tindakan mengemas kini ‘Protocol on Bird’s Nest Products Exported from Malaysia to China’ untuk dikemukakan kepada GACC.
“Ia bagi pengeksportan sarang burung walet dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan,” menurut kenyataan itu.
Menurut DVS, jabatan itu kekal komited untuk memastikan pematuhan terhadap keperluan eksport antarabangsa serta melindungi kepentingan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.