comscore
Tumpuan :
Nasional

Tiada peningkatan aras radioaktif di perairan negara – Jabatan Tenaga Atom

Sumber : Agensi Tenaga Atom Antarabangsa

PETALING JAYA : Tiada peningkatan aras keradioaktifan di perairan negara dikesan setakat ini, susulan langkah Jepun menyalurkan air terawat dari loji kuasa nuklear Fukushima Daaiichi ke laut semalam.

Jabatan Tenaga Atom (Atom Malaysia) dalam satu kenyataan di Facebooknya berkata, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) memandang berat kerisauan rakyat dan akan memantau tahap keradioaktifan perairan negara dengan rapi menerusi agensi itu.

”MOSTI melalui Atom Malaysia dengan kerjasama Kesatuan Eropah telah melakukan pemasangan Gamma Spectrum Water Monitoring Station (GSWMS) untuk memantau sebarang peningkatan aras keradioaktifan secara masa sebenar di perairan negara sebagai pengesanan amaran awal”, kata kenyataan itu.

Foto : Jabatan Tenaga Atom / Facebook

Data daripada stesen ini dipantau 24 jam dan 7 hari seminggu (24/7) di Pusat Pengurusan Tindakbalas Nuklear Kebangsaan (NCNRM) di Ibu Pejabat Atom Malaysia, Dengkil, Selangor.

Semalam, Jepun mula melepaskan air radioaktif yang dirawat dari loji nuklear Fukushima ke Lautan Pasifik, walaupun rancangan itu teruk dikecam disusuli sekatan import makanan laut oleh China, Korea Utara serta Hong Kong.

Bagaimanapun, Jepun kekal dengan pendirian, tindakan melepaskan air itu adalah selamat.

Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), badan pemerhati nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Julai lalu turut menyatakan ia mematuhi piawaian antarabangsa dan menjelaskan kesannya terhadap manusia dan alam sekitar adalah ‘sedikit’.

Artikel berkaitan : Atom Malaysia pantau peningkatan aras keradioaktifan air laut

Loading...
Terkini