PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan 4,069 pengembara dari China tiba di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) Malaysia sejak republik itu membuka sempadan negara, Ahad lalu.
Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Norhayati Rusli, berkata setakat ini tiada kes COVID-19 atau gejala dikesan dalam kalangan mereka.
Katanya, KKM akan terus memantau perkara itu termasuk melakukan persampelan air kumbahan bagi pesawat yang tiba dari China.
“Saringan dan pemantauan akan sentiasa ditingkatkan bagi mengesan kehadiran varian baharu COVID-19,” katanya pada sesi taklimat khas media di sini, hari ini.
Beliau turut menasihatkan rakyat Malaysia yang ingin ke luar negara supaya melengkapkan vaksinasi selain mengambil dos penggalak 1 dan 2.