Tumpuan :
Nasional

Tiada pelepasan sisa berjadual industri ke Sungai Kabul – SPAN

Kakitangan SPAN melakukan pemeriksaan dan pemantauan di lokasi berisiko. – Foto FB Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara

SHAH ALAM: Tiada pelepasan sisa berjadual industri ke sumber air susulan insiden air sungai berwarna merah jambu di Sungai Kabul, Beranang.

Menurut Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), pihaknya melakukan pemeriksaan dan pemantauan di lokasi berisiko yang dikenal pasti sekitar kawasan perindustrian berhampiran sungai utama.

“Tiada pelepasan sisa yang sekali gus menjadi penyumbang kepada insiden gangguan bekalan air.

“Pemain industri dan pengusaha dinasihatkan lebih peka serta memastikan tiada bahan terlarang yang boleh mengakibatkan pencemaran dilepaskan ke dalam sumber air mentah,” katanya di Facebook semalam.

SPAN turut menegaskan penjenayah sumber air boleh disiasat mengikut Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 yang memperuntukkan hukuman penjara dan denda bagi kesalahan berkait pencemaran air.

Katanya, orang ramai diminta untuk memberi maklum balas kepada operator air dan pembetungan jika terdapat kegiatan mencurigakan yang disyaki berkaitan dengan jenayah mencemarkan bekalan air.

Untuk aduan atau maklum balas berkenaan kes pencemaran, orang ramai boleh menyalurkannya melalui aplikasi WhatsApp ke nombor 013-3885000 atau e-mel ke alamat [email protected].

Selasa lalu, media melaporkan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengaktifkan Kod Kuning selepas mengesan aliran air berwarna merah jambu di Sungai Kabul sepanjang anggaran 500 meter.

Perkara itu dikesan jam 6.40 petang dan kod diaktifkan mengikut Manual Kecemasan Pencemaran Sumber Air untuk tindakan siasatan menyeluruh serta pencegahan/mitigasi segera.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini