KUALA LUMPUR: Ketiadaan petugas kesihatan disebabkan panggilan (on-call) di Klinik Kesihatan Kiulu, Sabah seperti yang tular di media sosial, tidak wajar berlaku tegas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Beliau berkata, pegawai yang bertugas perlu menjalankan amanah seperti diarahkan demi kemaslahatan awam.
“Ribuan terima kasih kerana membawa isu ini ke pengetahuan saya.
“Perkara ini tidak wajar berlaku, di mana pegawai yang ditugaskan tidak menjalankan tugas seperti yang diarah demi kemaslahatan awam,” katanya menerusi ciapan di X.
Semalam tular di platform media sosial sama, memaparkan papan makluman petugas atas panggilan di klinik kesihatan berkenaan yang memaklumkan tiada petugas kerana kekurangan staf, ditamatkan kontrak.
Pada papan makluman itu tertera tempoh ketiadaan petugas dari 23 hingga 29 Disember lalu.
Bagaimanapun, Dr Dzulkefly berkata, perkara itu tidak menjejaskan operasi atas panggilan atau operasi harian kerana pegawai perubatan (MO), jururawat, penolong pegawai perubatan (PPP) dan pemandu ada bertugas sepanjang tempoh berkenaan.
“Bagi mengatasi isu terbabit, seorang PPP tambahan dimobilisasi untuk memastikan jadual atas panggilan di klinik masih dapat digerakkan dan tidak terjejas.
“Pada masa yang sama, staf yang bertugas atas panggilan (MO, jururawat dan pemandu) turut disokong oleh perkhidmatan kecemasan yang sentiasa boleh diakses melalui MERS999,” katanya.
Katanya, perkhidmatan KKM, termasuk kecemasan melalui MERS999, sentiasa disediakan untuk mereka yang memerlukan.