PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan (MOT) memutuskan untuk tidak lagi menganjurkan sebarang majlis pelancaran kempen keselamatan jalan raya pada setiap musim perayaan peringkat kementerian itu, mulai tahun ini.
Menterinya, Anthony Loke menegaskan, keputusan itu dibuat bagi menjimatkan kos penganjuran yang menelan belanja di antara RM100,000 hingga RM200,000 bagi setiap majlis.
Sebaliknya, beliau berkata, perbelanjaan yang dijimatkan itu boleh disalurkan untuk menambah baik kempen keselamatan sedia ada seterusnya memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.
“Mulai tahun ini, tiada lagi majlis pelancaran (kempen keselamatan jalan raya) kerana tanpa majlis pelancaran itu pun, operasi JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) tetap berjalan, operasi bersepadu pun tetap diadakan dan undang-undang tetap dikuatkuasakan.
“Namun, jika ada syarikat swasta nak buat kempen, itu terpulang kepada mereka. Yang saya hentikan ialah bajet kementerian sebab kita akan guna untuk tujuan lebih baik, mungkin berikan topi keledar percuma bernilai RM55 setiap satunya kerana kami dapati masih ada yang menggunakan topi keledar lusuh,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan amanat 2024 Kementerian Pengangkutan di sini, hari ini.