comscore
Tumpuan :
Nasional

Tiada lokasi ‘panas’ di PRK Sungai Bakap – Polis

FOTO: NSTP

NIBONG TEBAL: Tiada lokasi dikategorikan sebagai ‘hotspot’ atau kawasan panas pada hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, esok.

Bagaimanapun Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad berkata tiga pusat pengundian dijangka mengalami kesesakan berikutan jumlah pengundi yang ramai iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Tasek Mutiara, Sekolah Kebangsaan Sungai Duri dan Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Boon Seng.

Sehubungan itu, beliau berkata polis mengatur tugas pegawai serta anggotanya bagi melancarkan proses pengundian serta kawalan lalu lintas.

“Lokasi panas di PRK DUN Sungai Bakap memang tidak wujud langsung kerana perjalanan kempen pilihan raya yang lancar, cuma di satu-satu lokasi itu ramai pengundi, namun dari segi keselamatan pihak polis mengatur tugas secara terperinci,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Sembang Santai PRK DUN Sungai Bakap terbitan media sosial Bernama TV hari ini.

Dalam pada itu Hamzah memaklumkan hingga jam 7 malam tadi, sebanyak 199 permit untuk kempen bergerak, ceramah dan tinjauan mesra bagi parti politik dikeluarkan kepada kedua-dua parti bertanding.

Kempen PRK DUN Sungai Bakap akan berakhir secara rasmi pada 11.59 malam ini.

PRK itu menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH) Dr Joohari Ariffin dan calon Perikatan Nasional (PN) Abidin Ismail, yang diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini