comscore
Tumpuan :
Nasional

Tiada larangan takbir ‘Allahu Akbar’ dalam perhimpunan aman

Oleh: Juliana Sharin

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak melarang laungan takbir ‘Allahu Akbar’ dibuat dalam perhimpunan Aman.

 

Bagaimanapun, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menjelaskan adalah menjadi tanggungjawab penganjur di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 perkara 6 1b bagi memastikan pihaknya atau mana-mana orang dalam perhimpunan tidak melakukan apa-apa perbuatan atau membuat sebarang penyataan yang berkecenderungan mengembangkan perasaan jahat atau permusuhan dikalangan orang awam.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.- Ihsan RTM

Perkara itu dibangkitkan Ahli Parimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal merujuk kepada perhimpunan aman ‘Freedom for Palestine’ di Dataran Merdeka, kelmarin.

Penganjur program itu, Viva Palestina Malaysia (VPM) mendapat kecaman hebat apabila didakwa meletakkan pelbagai syarat termasuk melarang laungan takbir ‘Allahu Akbar’.

“Adakah ini satu panduan baharu dari PDRM untuk protes Palestin? yang Menteri Komunikasi pun hadir. Jadi bagaimana? Adakah kita tidak boleh pada malam ini berhimpun dengan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri untuk melaungkan takbir, juga mengecam Benjamin Netanyahu sebagai penjenayah perang?” soal Wan Ahmad Fayhsal di Dewan Rakyat.

“Soal dibenarkan atau tidak dibenarkan, takbir dan sebagainya, saya tak fikir itu isu utamanya, saya muslim, takbir ertinya melaungkan kebesaran ALLAH SWT, tiada kilaf antara kita, hal ini adalah bagaimana penganjur itu mengikut budi bicara mereka dan kefahaman mereka, itu sahaja. Machang boleh adakan 10 ribu, 20 ribu esok, takbirlah, kalau saya ada masa, saya akan ikut serta, kita takbir sekuat-kuatnya itu saya ingat konteksnya,” jawab Datuk Seri Saifuddin Nasution.

Merujuk kepada jawapan balas oleh Pengerusi VPM, Datuk Dr Musa Mohd Nordin di platform X, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, tindakan penganjur itu bagi menunjukan semangat solidariti dalam perhimpunan yang dihadiri kira-kira 400 orang peserta pelbagai agama, bangsa, juga berbeza latar belakang kencenderungan politik.

Tegas beliau Perlembagaan Persekutuan dan Akta sedia ada sudah memadai dalam menguruskan penganjuran perhimpunan aman.

Turut ditekankan, tanggungjawab sama turut dipikul peserta dan pihak berkuasa.

Penjelasan itu pastinya berguna bagi rujukan peserta yang akan menghadiri `Himpunan Malaysia Bersama Palestin’ di Axiata Arena, Bukit Jalil, malam ini.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini