comscore
Tumpuan :
Nasional

Tiada laporan membabitkan penipuan tabung kemanusiaan Palestin setakat ini – JSJK

FOTO: Reuters

Oleh: Ridhwan Rusydi Azri Roslan

PETALING JAYA: Tiada laporan membabitkan penipuan berkaitan tabung kutipan derma dan sumbangan untuk rakyat Palestin setakat hari ini.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, walaupun tiada sebarang laporan sehingga ke hari ini, orang ramai hendaklah sentiasa berhati-hati dan sering menyemak terlebih dahulu kesahihan tabung yang dilancarkan.

“Setakat ini, tidak ada lagi laporan yang kita terima mengenai tabung kepada Palestin secara spesifik, tetapi saya suka untuk mengingatkan orang ramai, supaya berhati hati dalam menghulurkan derma.”

“Ini kerana, banyak pihak yang akan mengambil kesempatan dalam keadaan simpati dan dalam keadaan kita  ingin membantu masyarakat Palestin yang terjejas dalam serangan dari pihak Israel.”

“Jadi, kita perlu sentiasa semak. Jangan semudah-mudahnya atau sewenang-wenangnya menderma, semaklah terlebih dahulu dengan mana-mana Badan Bukan Kerajaan (NGO), atau dengan masyarakat.

“Kita faham, kadang kala kita tidak ada masa untuk semak tetapi sentiasalah ada perasaan takut, terutamanya dalam memberi derma yang banyak.” katanya ketika dihubungi Buletin TV3.

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan meberitahu ada pihak yang membuat aduan untuk mengesahkan kesahihan dan ketulenan tabung-tabung yang dilancarkan bagi membantu rakyat Palestin.

“Ramai yang buat aduan bertanya, betul ke tidak tabung ini, tabung itu. Tapi nak kata banyak tu, adalah dalam belasan aduan, mereka minta confirmation lah.”

“Jadi yang kita tak tahu tu, kita kata tidak tahu lah, pasal kita pun macam mana nak tahu semua kan. Kita pun tidak tahu kerana sentimen orang ini, macam-macam. Jadi, semua oranng kena berhati-hati.”

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini