comscore
Tumpuan :
Nasional

Tiada laporan kemalangan babit peserta RXZ Member 6.0 – Polis

Foto fail NSTP

IPOH: Polis setakat ini belum menerima sebarang laporan berkaitan kemalangan di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) membabitkan sekumpulan penunggang motosikal dipercayai dalam perjalanan ke himpunan motosikal RXZ Member 6.0 di Terengganu, esok.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Mohamad Nazri Daud berkata, setakat ini, pihaknya belum dapat memastikan sama ada kejadian berkenaan yang tular di media sosial benar-benar berlaku atau sebaliknya.

“Masih tidak dapat dikesan (sama ada kejadian benar berlaku. (Kerana) Tiada sesiapa yang buat laporan polis berkaitan kemalangan yang dimaksudkan itu.

“FB (Hantaran mengenainya yang ditularkan melalui Facebook) juga sudah diselidik tetapi masih tiada lanjut diterima,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad ketika dihubungi berkata, maklumat awal diterima melalui anggota dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, mendapati kejadian berlaku di Gopeng iaitu di bawah kawasan pentadbiran IPD Kampar.

“Disahkan kejadian oleh Trafik IPK. Kejadian berlaku area (kawasan) Gopeng, IPD Kampar,” katanya ringkas.

Terdahulu, insiden itu yang mula tular sejak hari ini dikatakan berlaku di Gopeng apabila video memaparkan kemalangan motosikal membabitkan sekurang-kurangnya tiga penunggang terjatuh atas jalan raya selepas berlanggar sesama sendiri di lorong kanan lebuh raya berkenaan.

Himpunan motosikal RXZ Member 6.0 akan berlangsung di Litar Permotoran Terengganu, Kompleks Sukan Gong Badak dekat Kuala Nerus, Terengganu, esok.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini