
IPOH: Lapan laporan diterima polis antara 2021 hingga 2024 mengenai insiden nelayan di Pantai Remis adalah berkaitan nelayan Malaysia yang ditahan oleh pihak berkuasa Indonesia dan tidak membabitkan ancaman lanun.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, lapan laporan berkenaan terdiri daripada tiga laporan masing-masing pada 2021 dan 2023 (tiga) serta dua tahun lalu namun tiada laporan berkaitan aktiviti lanun diterima.
“Kejadian ini tidak membabitkan lanun memasuki perairan Malaysia sebaliknya ia adalah kes di mana nelayan tempatan mungkin ditahan di luar sempadan negara,” katanya.
Justeru, Noor Hisam berkata, pihaknya menggesa nelayan di Pantai Remis membuat laporan polis secara rasmi sekiranya mereka mengalami ancaman di laut berikutan dakwaan kejadian seumpama itu baru-baru ini.
“Kita tidak menerima sebarang laporan berkaitan ancaman lanun di kawasan itu. Saya tidak fikir keadaan di sana sama seperti di pantai timur Sabah.
“Saya sebelum ini berkhidmat dengan Kawasan Keselamatan Timur Sabah (ESSCOM), dan berdasarkan pengalaman saya ugutan seperti itu hanya akan dipertimbangkan jika terdapat laporan rasmi.
“Memandangkan tiada laporan dibuat, bermakna tiada kejadian seperti itu berlaku,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis serah terima tugas Ketua Polis Daerah (KPD) Hilir Perak, KPD Sungai Siput dan KPD Tapah di Mes Pegawai Kanan Polis, di sini hari ini.
Pada majlis itu, Senior Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin dilantik sebagai KPD Hilir Perak yang baharu; Deputi Superintendan Mohd Rohaizimi Razali sebagai KPD Sungai Siput; dan Deputi Superintendan Mohd Fadzil Ismail mengambil alih jawatan KPD Tapah yang baharu.
Noor Hisam diminta mengulas dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Remis, Wong May Ing yang mendakwa nelayan di Pantai Remis menghadapi peningkatan ancaman daripada lanun Indonesia sejak kebelakangan ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sekiranya benar terdapat kes peras ugut seperti yang didakwa, polis menggesa mereka yang terjejas tampil membuat laporan polis.
Mengenai had penguatkuasaan undang-undang di laut, Noor Hisam mengakui jangkauan operasi polis agak terhad berbanding Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.