KUALA LUMPUR: Individu yang disahkan positif COVID-19 tidak lagi perlu berada di bawah perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah atau HSO.
Penamatan HSO adalah antara prosedur operasi standard, SOP dan garis panduan yang dikaji semula Kementerian Kesihatan dalam melaksana fasa hidup bersama COVID-19.
Dalam jawapan bertulis di Parlimen, Menterinya Datuk Seri Dr Dzulkefly memaklumkan individu positif virus terbabit akan dirawat sama seperti jangkitan pernafasan lain dan tidak akan diberikan HSO.
“Sama ada pesakit diberi cuti sakit atau dirujuk ke hospital….akan ditentukan pengawai perubatan yang merawat mereka.”
Mengulas lanjut, beliau mengakui, golongan dijangkiti COVID-19 masih boleh menyebarkan virus itu kepada orang lain.
Justeru, mereka perlu melaksana tanggungjawab sosial dengan kekal berada di rumah serta melakukan langkah pencegahan kesihatan awam.
Individu yang mempunyai kontak rapat dengan pesakit COVID-19 digalakkan untuk sentiasa memantau gejala dan kesihatan mereka.
Mereka juga dinasihatkan untuk mendapat rawatan jika gejala tidak reda atau semakin buruk.
Tambah beliau, pesakit perlu memakai pelitup muka, mengurangkan interaksi dan mengelakkan ruang sesak.
Selain itu, pekerja kesihatan harus memakai pelitup muka di kemudahan penjagaan kesihatan dan ketika berurusan dengan pesakit.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa