KUALA TERENGGANU: Tiada lagi penjualan telur penyu di Pasar Kedai Payang di sini, selepas hampir setahun larangan menjualnya dikuat kuasa kerajaan negeri Terengganu bermula Jun tahun lalu.
Tinjauan wartawan di pasar berkenaan mendapati peniaga akur dengan arahan berkenaan apabila tiada peniaga menjual telur eksotik itu walaupun permintaannya masih ada.
Peniaga, Rohaida Yasin, 51, berkata, dia sebelum ini ada menjual telur penyu secara kecil-kecilan namun tidak lagi menjualnya sejak kerajaan negeri Terengganu mengharamkan kegiatan itu.
“Saya memang ada jual sebelum ini, tetapi bila kerajaan negeri menguatkuasakan undang-undang itu, saya akur.
“Sebelum larangan itu, memang ramai juga peniaga yang jual telur penyu di sini sebab permintaan itu ada sama ada dalam kalangan penduduk setempat atau pelancong.
“Namun apabila kerajaan keluarkan larangan itu, memang tak berani jual walaupun kadang-kadang ada yang bertanya,” katanya ditemui di Pasar Kedai Payang di sini, semalam.
Peniaga, Rosmi Ma, 32, berkata, dia tidak pernah menjual telur penyu walaupun sebelum kerajaan melaksanakan pengharaman berkenaan.
“Saya sudah berniaga di sini hampir 10 tahun dan dalam tempoh berkenaan memang tak pernah jual telur penyu.
“Sebelum larangan itu, memang ramai juga yang jual tetapi sekarang peniaga tak berani jual sebab hukuman berat dikenakan,” katanya yang menjual pelbagai jenis makanan seperti keropok dan dodol.
Kerajaan negeri Terengganu pada November 2021 meluluskan Enakmen Penyu 1951 (Pindaan 2021) dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri bagi mengelak kepupusan hidupan marin yang semakin terancam itu.
Tindakan itu bagi memastikan kesinambungan populasi penyu di Terengganu selain mengelak eksploitasi reptilia marin berkenaan secara berleluasa terutama di pasaran terbuka dan e-dagang.
Pindaan itu antara lain akan mengenakan hukuman lebih berat bagi kesalahan berkaitan penyu dengan menetapkan kadar denda yang lebih tinggi terhadap kesalahan kacau ganggu dan membunuh penyu iaitu RM50,000 hingga RM250,000 atau penjara tidak kurang setahun atau kedua-duanya sekali. – HARIAN METRO