comscore
Tumpuan :
Nasional

Tiada lagi panggilan beritahu duit sudah masuk – Ibu

Meor Chek Hussein (tengah) menyampaikan replika cek sumbangan kepada ibu bapa Allahyarham Muhamad Syafiq, Ahmad Said Md Piah dan Aini Mohd Sharif sambal diperhatikan Yahaya (dua dari kanan) di Kuantan. – FOTO: NSTP

KUANTAN: “Biasanya setiap hujung bulan makcik menantikan panggilan telefon atau panggilan video daripada arwah maklumkan sudah memasukkan duit selepas mendapat gaji,” kata Aini Mohd Sharif, 57, ibu kepada Allahyarham Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said yang terkorban dalam serangan ke atas Balai Polis Ulu Tiram, Johor pada 17 Mei lalu.

Namun, Aini dan suami, Ahmad Said Md Piah, 65, bersama keluarga reda dan menerima ketentuan kehilangan Allahyarham Muhamad Syafiq yang terkorban ketika bertugas.

“Alhamdulillah, kami semakin dapat menerima tetapi kehilangan arwah akan tetap dirasai sehingga kini,” kata Ahmad Said.

Ahmad Said dan Ani ditemui pada majlis penyampaian sumbangan daripada Persatuan Pegawai-pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (RESPA) kepada keluarga Allahyarham Muhamad Syafiq di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, di sini hari ini.

Majlis itu dihadiri Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, Presiden RESPA, Datuk Meor Chek Hussein Mahayuddin dan Pengarah RESPA Pahang, Che Arifin Mohd Ali.

Sementara itu, Meor Chek Hussein berkata, sejumlah RM13,000 daripada RM34,000 hasil sumbangan daripada ahli ESPA dan orang ramai diserahkan kepada keluarga Allahyarham Muhamad Syafiq.

Katanya, baki RM21,000, masing-masing RM13,000 diserahkan kepada keluarga Allahyarham Ahmad Azza Fahmi manakala RM8,000 kepada Koperal Mohd Hasif Roslan yang cedera dalam kejadian itu.

“Bagi pihak RESPA, saya berterima kasih kepada semua penyumbang dan RESPA bukan sahaja menghulurkan sumbangan kepada ahli, malah mereka yang mengalami bencana dan berdepan kesusahan turut dibantu,” katanya.

Dalam pada itu, Yahaya berkata, Polis Pahang berterima kasih di atas keprihatinan RESPA yang menghulurkan sumbangan kepada anggota polis yang ditimpa kemalangan.

Muhamad Syafiq meninggal dunia dalam serangan di Balai Polis Ulu Tiram pada jam 2.45 pagi, 17 Mei lalu yang turut mengorbankan rakan sejawat, Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar.

Pada kejadian serangan itu, suspek yang berusia 21 tahun turut mati ditembak manakala Mohd Hasif cedera terkena tembakan di bahu dan pinggul.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini