![](https://media.buletintv3.my/2023/12/BULETIN-TV3-2023-12-09T172231.950.jpg)
KUALA LUMPUR: Tiada lagi diskaun yang akan diberikan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selepas ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, ini kerana sejak beliau menjawat jawatan berkenaan pada 2018, pihaknya menetapkan dasar supaya jabatan itu tidak lagi memberi pelepasan atau diskaun saman kepada pengguna jalan raya.
Katanya, semasa pentadbirannya, beliau sudah melupuskan lebih empat juta saman membabitkan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang sekaligus mengurangkan hasil kerajaan sebanyak RM600 juta.
“Saya sudah katakan sebelum ini ketika membatalkan semua saman AES, bahawa pemberian itu adalah secara ‘one-off’. Ramai yang sambut baik tindakan itu.
“Namun selepas itu, tiada lagi diskaun akan diberikan oleh kementerian ini. Ini kerana kita beri saman itu untuk mendidik, namun sekiranya kita beri pengurangan kepada mereka, seolah-olah kita ini boleh bertolak ansur malah. Ia juga tidak adil kepada individu yang membayar saman mengikut tarikh yang ditetapkan.
“Saya tahu orang tidak gembira dengan berita ini dan akan mengkritik serta mungkin mengatakan saya ini tidak ada rasa simpati. Tetapi saya mohon maaf, kerana bagi saya apa yang paling penting adalah isu keselamatan jalan raya perlu diberikan keutamaan,” katanya kepada pemberita selepas melawat reruai Kementerian Pengangkutan sempena pelaksanaan Karnival Setahun Bersama Kerajaan Malaysia Madani, disini hari ini.
Loke berkata, walaupun menerima permintaan untuk memberikan diskaun ketika kanival berkenaan, namun pihaknya perlu tegas kerana kementeriannya diamanahkan untuk bertanggungjawab dalam isu keselamatan jalan raya.
Berikutan itu, Loke meminta supaya pengguna jalan raya yang mempunyai saman untuk tidak menanti sebarang diskaun dan menjelaskan kadar itu dalam kadar segera supaya tidak mendapat implikasi lain seperti menerima waran.
Mengulas lanjut, Loke berkata walaupun pihaknya tidak memberi diskaun saman namun pelbagai insiatif lain tetap diadakan bagi membantu rakyat.
“Saya lakukan perkara lain, seperti pemberian topi keledar percuma kepada penunggang motosikal serta pemberian cabutan bertuah membabitkan tiket penerbangan ke beberapa lokasi secara percuma.
“Tetapi dalam soal saman ini, saya tidak mahu berkompromi. Itu adalah dasar yang sudah saya bawa sejak menjawat jawatan ini,” katanya.