KLANG: Tiada lagi penggunaan beg plastik di semua premis dan sektor perniagaan di seluruh negara pada 2025.
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata setakat ini, pelaksanaan dibuat secara berfasa daripada premis tetap sebelum beransur-ansur kepada premis perniagaan termasuk warung atau peniaga gerai tepi jalan.
“Cuma cara pelaksanaan dan sebagainya (kadar caj yang dikenakan dan kekerapan serahan kutipan) kita telah memberikan ruang pada kerajaan negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) kerana mereka (kerajaan negeri dan PBT) ada konteks tersendiri
“Pendekatan kita bukan hanya denda (jika peniaga masih membekalkan beg plastik pada 2025) sebaliknya, ada insentif dalam mengalakkan peralihan berkenaan.
“Perincian mengenainya akan diumumkan dari masa ke semasa,” katanya pada sidang akhbar di sini, selepas melancarkan beg kitar semula Madani dan kempen tanpa beg plastik di Wisma 99 Speed Mart.
Turut hadir, Pengarah Urusan 99 Speed Mart Sdn Bhd, Lee Thiam Wah.
Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata empat negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang, Johor, dan Negeri Sembilan adalah negeri yang ke hadapan dalam pelaksanaan kempen bebas beg plastik.
Katanya, kempen bebas plastik ini adalah pelan jangka panjang kerajaan dalam menangani isu pencemaran sisa plastik sekali guna.
“Sampah plastik adalah salah satu masalah besar di negara ini malah Malaysia berada di antara 10 negara dunia yang berdepan masalah sampah plastik tidak terurus.
“Berdasarkan laporan World Wildlife Fund (WWF), anggaran penggunaan bungkusan plastik makanan sahaja di Malaysia mencecah 148,000 metrik tan, bagi tahun 2020. Ini bukan satu rekod yang harus dibanggakan,” katanya.