Tumpuan :
Nasional

Tiada Kompromi Terhadap Najib, Boleh Berkempen PRU-15 Jika Dibebaskan

KAJANG: Jabatan Penjara akan mempertahankan penguatkuasaan undang-undang tanpa kompromi walaupun membabitkan orang kenamaan.

Ketua Pengarah Penjara, Datuk Nordin Muhamad, berkata semua individu dalam tahanan perlu menjalani hukuman seperti ditetapkan dan tertakluk kepada akta serta peraturan penjara.

“Kalau ada kompromi, habislah,” katanya mengulas jika ada parti politik memohon bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang menjalani hukuman penjara diberi keistimewaan atau kelonggaran,Nordin berkata, Najib perlu dibebaskan terlebih dahulu jika mahu berkempen bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Keadaannya sama. Kena bebaskan dia, kena lepaskan. Selagi menjalani hukuman penjara, dia akan tertakluk kepada akta dan peraturan penjara.

“Insya-Allah, itulah yang kami pegang setakat ini. Tidak ada (kompromi) dalam pelaksanaan (undang-undang) ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Akta Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah (Pindaan) 2022 di Ibu Pejabat Penjara Malaysia (IPPM) di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Wan Dahlan Abdul Aziz.

Sekiranya bekas Perdana Menteri itu berhak mendapat apa yang dipohon, pihaknya tiada masalah berbuat demikian asalkan mengikut lunas undang-undang.

“Bukan Najib sahaja tetapi jika ada permohonan daripada banduan lain, semua perlu tertakluk kepada undang-undang sama.

“Kalau kita berat sebelah di penjara, siapa yang nak menguatkuasakan hukuman? Kalau agensi penguatkuasaan hukuman tidak boleh dipercayai, sistem apa yang kita nak jaga?” katanya.

Mengenai dakwaan Jabatan Penjara dilihat seolah-olah menyalahgunakan kuasa, Nordin menyifatkannya sebagai persepsi namun menegaskan pegawai yang berbuat demikian tidak terlepas daripada hukuman tegas.

“Orang kata kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Kita akan ambil tindakan tegas ke atas mereka yang merosakkan nama baik dan integriti Jabatan Penjara,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini