Oleh: Fazli Ahmad
KUANTAN: Jabatan Kesihatan Pahang mengesahkan tiada penularan baharu batuk kokol di Rompin dan wabak itu terkawal.
Pengarahnya, Datuk Dr. Nor Azimi Yunus berkata, hingga kini 507 penduduk termasuk kontak rapat di empat kampung di sekitar Kampung Bahagia, Rompin tempat wabak itu dikesan sudah disaring.
Menurutnya, hasil saringan dilakukan sejak kes pertama dilaporkan 13 Ogos lalu hingga hari ini.
Katanya, pemantauan berterusan dilakukan dalam tempoh 14 hari sehingga 27 Ogos ini .
“Pemantauan berterusan dilakukan dan hingga kini keadaan masih terkawal dan tiada penularan baharu serta masyarakat tidak perlu bimbang dengan wabak itu.
”Justeru orang ramai tidak perlu membuat sebarang spekulasi wabak itu menular di Rompin dan daerah itu tidak selamat dikunjungi kerana perkara itu tidak benar.” katanya pada sidang media hari ini.
Jika tiada kes baharu dikesan, penularan wabak itu akan diklasifikasikan sebagai berakhir.
“Hingga kini seorang wanita berusia 36 tahun dan anaknya berusia dua tahun hanya dirawat sebagai pesakit luar.
“Manakala anak wanita terbabit berusia dua bulan sedang dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan dan keadaan mangsa stabil”, katanya.
Menurut Dr. Nor Azimi, mangsa pertama disahkan mengidap batuk kokol ialah pada 7 Ogos, mangsa kedua disahkan positif enam hari kemudian manakala ibu kanak-kanak terbabit disahkan dijangkiti pada 17 Ogos.
Penularan itu dipercayai berpunca daripada ibu kanak-kanak berkenaan tetapi punca sebenar jangkitan sedang disiasat.
Batuk kokol atau Pertussis adalah penyakit disebabkan bakteria Bordetella pertussis dengan kuman disebarkan melalui udara semasa pesakit bersin atau batuk dan menjangkiti mulut, hidung dan tekak.
Penyakit itu boleh dielakkan dengan pemberian imunisasi kepada kanak-kanak pada usia dua, tiga, lima, dan 18 bulan.
Kanak-kanak sudah mendapat pelalian lengkap hanya akan mengalami gejala ringan tanpa risiko komplikasi jika dijangkiti.