Tumpuan :
Nasional

‘Tiada keperluan siasat dakwaan MP Ayer Hitam’ – Speaker

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul

KUALA LUMPUR: Tiada keperluan untuk menyiasat dakwaan Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, yang didesak membetulkan kenyataan di Dewan Rakyat berhubung isu pengimportan telur dari India.

Ini kerana menurut Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul, setiap percakapan Ahli Parlimen di dalam Dewan dilindungi di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Tak payah siasat, tengok Perlembagaan. Ahli Parlimen apa juga yang dia cakap asalkan tidak bercanggah dengan Akta Hasutan dan tidak menghina Raja-Raja, dia boleh cakap apa juga.

 

“Tidak ada undang-undang yang boleh dikenakan terhadap Ahli Parlimen yang cakap dalam Parlimen. Kalau dia bercakap di luar Parlimen, lain cerita,” katanya kepada pemberita di bangunan Parlimen, hari ini.

Beliau diminta mengulas gesaan Pengerusi Kelab Penyokong-Penyokong Kerajaan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, yang mahu dakwaan Ka Siong disiasat.

Ahli Parlimen Titiwangsa itu dilaporkan berkata, kenyataan Ka Siong di Dewan Rakyat menunjukkan wujud kepentingan di pelbagai peringkat dan Yang Dipertua perlu bertindak segera kerana ia menjejaskan prosiding Dewan.

Di Dewan Rakyat semalam, Ka Siong mendakwa dihubungi seorang individu yang menuntut Presiden MCA itu menarik balik kenyataan dibuat di Parlimen mengenai pengimportan telur dari India.

Terdahulu, Johari melancarkan buku ‘Localizing SDGs & Local Issues (Ten Parliamentary Constituencies in Malaysia)’ terbitan Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia bagi menggalakkan usaha penumpuan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG).

Loading...
Terkini