PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri menegaskan tiada keperluan untuk meminda dan menyemak semula Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) buat masa ini.
Bagaimanapun kata Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, ia boleh digubal dan dipinda di parlimen mamandangkan undang-undang itu bersifat dinamik.
“Kalau ditanya sekarang (semak semula SOSMA), jawapannya adalah tidak,” katanya ketika ditemui pada sidang media ketika Lawatan Rasmi Menteri Dalam Negeri ke Ibu Pejabat Jabatan Sukarelawan Malaysia pagi tadi.
Semalam, Saifuddin dilaporkan berkata, akta berkenaan masih diperlukan kerana peruntukan undang-undang itu akan membolehkan pihak berkuasa membanteras kegiatan jenayah terancang, terutama membabitkan tangkapan ahli sindiket.
Katanya pelaksanaan SOSMA adalah lebih baik, berbanding Akta Keselamatan Dalam Negeri dan Ordinan Darurat kerana ia membenarkan prosedur perundangan dibuat susulan penangkapan suspek kes terbabit.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Damansara, Gobind Singh Deo, meminta Menteri Dalam Negeri itu mempertimbangkan semula pendiriannya mengenai akta berkenaan selain menyifatkan pendirian Datuk Seri Saifuddin itu bercanggah dengan pendirian Pakatan Harapan (PH).