comscore
Tumpuan :
Nasional

Tiada keperluan perketat syarat mohon lesen memandu

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan (MOT) tidak bercadang memperketat syarat pembaharuan lesen memandu kepada semua pemegang lesen kenderaan termasuk keperluan mengemukakan laporan kesihatan.

Menterinya, Anthony Loke berkata, jika langkah sedemikian dilaksana, ia akan menimbulkan bantahan ramai pihak dan menambah birokrasi dalam urusan perbaharui lesen memandu.

Namun, pemenang lesen bagi kad orang kelainan upaya (OKU) masih tertakluk syarat ditetapkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ketika ini.

“Saya rasa untuk pemegang kad OKU, kaedahnya seperti biasa. Tapi untuk pemegang lesen sedia ada, untuk mereka perbaharui lesen sekarang ini, tiada syarat tambahan.

“Kalau kita mahu letak syarat tambahan, nanti ada orang akan bising… setiap tahun perbaharui lesen kena dikepilkan laporan kesihatan dan sebagainya.

“Ia (laporan kesihatan) hanya terpakai untuk pemegang khas lesen kenderaan perdagangan perlu ada laporan kesihatan dan sebagainya. Tapi untuk pemegang lesen B (penuh) umpamanya, tidak diperlukan. Tapi saya rasa adalah penting untuk pemandu berkenaan untuk mereka juga supaya lebih bertanggungjawab.

“Kalau mereka diberikan sebagai pemandu OKU, maka mereka perlu memberikan maklumat itu (laporan kesihatan) kepada pihak JPJ,” katanya menjawab soalan tambahan Dr Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Mohammed Taufiq bertanya sama ada MOT sedia mempertimbang syarat lebih ketat untuk proses perbaharui lesen kepada pemegang kad OKU bagi memastikan mereka tidak membahayakan pengguna jalan raya lain.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini