BUKIT GANTANG: Tiada sebarang keperluan untuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menjalinkan kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memudahkan pemberian sijil halal kepada pengusaha perusahaan mikro dan kecil (PMK).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad berkata ini kerana permohonan serta kelulusan sijil halal dikeluarkan oleh JAKIM bukan satu proses yang rumit untuk dipenuhi.
“Proses permohonan dan kelulusan sijil halal ini mudah dan para pemohon hanya perlu memenuhi prosedur operasi standard (SOP) kita dalam masa 30 hari. Biasanya jika segala peraturan yang kita tetapkan itu dipenuhi, kelulusan hanya mengambil masa selama 16 atau 17 hari sahaja.
“Biasanya kalau yang tidak dapat kelulusan itu adalah disebabkan ada syarat-syarat yang tidak dipenuhi. Kita juga kena ingat sijil ini tidak boleh dikeluarkan sebarangan walaupun yang memohon itu adalah orang Islam sendiri,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Jualan Bantu Rakyat Parlimen Bukit Gantang di Kampung Sungai Tinggi Trong di sini hari ini.
Pada 18 Ogos lepas, Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (Dewan Melayu) Dr Abdul Halim Husin mencadangkan supaya JAKIM membuat penyelarasan dengan PBT bagi memudahkan PMK mendapat pensijilan halal. – BERNAMA