Tumpuan :
Nasional

Tiada keperluan kaji semula Akaun Fleksibel

KUALA LUMPUR: Penganalisis ekonomi berpendapat tiada keperluan untuk kerajaan mengkaji semula Akaun Fleksibel atau Akaun 3 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Pengurus Pembangunan Perniagaan, Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff menegaskan, kerajaan tidak perlu kaji semula Akaun 3 untuk keperluan kewangan jangka pendek ahli dana persaraan itu.

Ia susulan kenyataan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang meminta kerajaan mengkaji semula keberkesanan pelaksanaan Akaun Fleksibel.

“Ini kerana jika ada pencarum yang terdesak perlukan bantuan kewangan atas maksud tertentu, ada lagi bantuan kewangan yang boleh dipohon, oleh pencarum selain daripada mengeluarkan wang (daripada tabung) KWSP seperti zakat dan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Selain itu ada juga inisiatif lain daripada kerajaan Persekutuan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) termasuk bantuan dari kerajaan negeri,” katanya kepada BH hari ini.

Cadangan itu diusulkan Wan Saiful, ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, semalam.

Dalam pada itu, Ahmed Razman berkata, secara umum tidak boleh menghalang golongan yang berkemampuan untuk mengeluarkan wang daripada Akaun Fleksibel untuk berbelanja.

“Kita tak halang golongan yang berkemampuan untuk keluarkan wang dari Akaun 3 untuk maksud berbelanja mewah.

“Ini duit mereka dan simpanan persaraan mereka dah cukup tinggi. Kalau sakit dan untuk tujuan perubatan, golongan ini boleh keluarkan simpanan dari Akaun 2 untuk kos perubatan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini