Tumpuan :
Nasional

Tiada kenaikan yuran TASKA, TABIKA KEMAS tahun depan

Foto fail 

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Tiada kenaikan yuran Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) dan Taman Bimbingan Kanak-Kanak (TABIKA) yang dikendalikan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) bagi sesi persekolahan tahun depan.

Perkara itu disahkan KEMAS dalam satu kenyataan.

“Merujuk kepada laporan media bertajuk ‘Yuran Taska dan Tadika meningkat hingga 25%’, KEMAS ingin memaklumkan bahawa ia tidak melibatkan TABIKA dan TASKA di bawah kendalian pihak kami,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan, yuran Taman Didikan Kanak-Kanak (TADIKA) dan TASKA seluruh negara dijangka naik antara 20 hingga 25 peratus pada tahun depan, susulan kenaikan kadar gaji minimum kepada RM1,700 sebulan yang diumumkan kerajaan berkuat kuasa 1 Februari depan.

Persatuan TADIKA Islam Malaysia (PERTIM) dan Persatuan Pendidik Institusi Pendidikan Negeri Johor, yang menaungi pengusaha TADIKA, selain Persatuan Pengasuhan dan Perkembangan Awal Kanak-Kanak Berdaftar Malaysia yang menaungi pengusaha TASKA mengesahkan kenaikan yuran perkhidmatan ditawarkan kira-kira 4,500 ahli mereka susulan kenaikan kos operasi.

Bagaimanapun, kenaikan berkenaan perlu mendapat kebenaran dan menerusi permohonan dibuat kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) atau Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) sebelum dilaksanakan.

Mengulas lanjut, KEMAS menyatakan, laporan disiarkan sebuah agensi berita yang memaparkan visual rakaman di dalam TABIKA KEMAS menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat terutama ibu bapa yang menghantar anak mereka ke TABIKA dan TASKA KEMAS.

Justeru, KEMAS berharap ibu bapa kekal tenang dan terus menjadikan TABIKA KEMAS sebagai pilihan utama dalam pendidikan awal kanak-kanak.

“Kerajaan MADANI melalui KEMAS sentiasa prihatin terhadap bebanan rakyat dan berusaha meringankan kesulitan yang dihadapi masyarakat,” katanya.

Untuk sebarang pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi Ibu Pejabat KEMAS Putrajaya di talian 03-88912682.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini