Tumpuan :
Nasional

Tiada kenaikan tarif elektrik di Semenanjung dari Januari hingga Jun 2025

Foto hiasan

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Tiada kenaikan tarif elektrik dikenakan kepada semua pengguna elektrik di Semenanjung bermula 1 Januari hingga 30 Jun depan susulan keputusan kerajaan supaya kadar rebat dan surcaj terhadap tarif itu dikekalkan.

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dalam kenyataan memaklumkan, keputusan yang diputuskan pada 13 Disember lalu adalah berdasarkan mekanisme Ketidakseimbangan Pelepasan Kos Bahan Api (ICPT).

“Keputusan tiada kenaikan tarif elektrik kepada semua pengguna di Semenanjung bagi tempoh tersebut menunjukkan bahawa kerajaan adalah komited untuk menjamin kesejahteraan rakyat dengan memastikan pengguna domestik terus dilindungi melalui pelaksanaan subsidi elektrik secara bersasar,” menurut kenyataan itu.

PETRA berkata, secara keseluruhannya, kerajaan membiayai RM2.388 bilion subsidi elektrik bagi tempoh berkenaan.

Kementerian percaya pelaksanaan subsidi elektrik secara bersasar adalah pendekatan yang terbaik pada masa ini supaya mengurangkan komitmen subsidi kerajaan.

Jelasnya, peruntukan tersebut dapat disalurkan dalam pelbagai bentuk bantuan lain kepada rakyat dan membolehkan kerajaan terus menambah baik infrastruktur awam, penjagaan kesihatan dan menyokong sektor pendidikan negara.

Mengulas lanjut, PETRA menyatakan, kerajaan pada 13 Disember lalu turut bersetuju dengan penetapan kadar purata tarif asas elektrik di Semenanjung bagi Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Penetapan kadar itu di bawah kerangka Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR) untuk tempoh Regulatori Keempat (RP4) bermula pada 1 Januari 2025 hingga 31 Disember 2027.

“Sehubungan perkara ini, kerajaan melalui Suruhanjaya Tenaga (ST) sedang memuktamadkan cadangan jadual tarif baharu yang mencerminkan kos pembekalan elektrik sebenar dan lebih kompetitif, di samping mengekalkan keseimbangan trilema tenaga (keselamatan, kemampanan and kemampuan).

“Jadual tarif baharu ini dicadang untuk dilaksanakan bermula pada 1 Julai 2025 dengan melibatkan implikasi kewangan yang dianggarkan sebanyak RM3.57 bilion yang akan dibiayai oleh kerajaan,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, PETRA berkata, kerajaan terus kekal komited untuk memastikan kebajikan golongan berpendapatan rendah terpelihara melalui Program Rebat Elektrik RM40.

Program terbabit adalah untuk pengguna elektrik dalam kategori Miskin Tegar yang berdaftar dan disahkan dalam Sistem e-Kasih di seluruh Malaysia pada tahun 2025 dengan peruntukan sebanyak RM55 juta.

Pengguna boleh membuat semakan status kelayakan masing-masing di laman sesawang https://semakanrebat.petra.gov.my/apps/public/index.php atau hadir ke kedai utiliti yang berhampiran.

Pengguna juga boleh melihat jumlah subsidi elektrik yang diberikan oleh kerajaan di dalam bil elektrik bulanan masing-masing.

“Kerajaan berharap agar pengekalan tarif elektrik bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun 2025 akan menjamin pemain industri supaya memastikan kestabilan harga barangan di pasaran dan menyokong usaha kerajaan untuk menggalakkan pelaburan di Malaysia.

“Ia sekali gus meningkatkan peluang pekerjaan kepada rakyat dan merancakkan ekonomi negara,” menurut kenyataan itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini