
BAYAN LEPAS: Tiada kenaikan melampau harga makanan dikesan di Bazar Ramadan dan Bazar Ramadan Rahmah (BRR) di seluruh negara dalam tempoh enam hari berpuasa.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Dr Fuziah Salleh.
Beliau berkata, pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melakukan pemeriksaan ke atas 15,189 premis sepanjang Januari hingga 7 Mac dan mendapati harga barang masih berada dalam keadaan stabil.
“KPDN melalui pelaksanaan Op Pantau 2025 telah menggandakan pemantauan dan penguatkuasaan di bazar Ramadan bagi memastikan peniaga mematuhi peraturan serta tiada berlaku kenaikan harga tidak munasabah.
“Setakat ini, terdapat 307 aduan yang diterima, termasuk laporan di media namun apabila pegawai kita lakukan pemeriksaan tidak membabitkan kenaikan harga barangan yang melampau.
“Kebanyakan aduan adalah berkaitan dengan kegagalan peniaga mempamerkan tanda harga serta berkaitan alat timbang dan sukat,” katanya pada sidang media selepas sesi turun padang BBR Peringkat Zon Utara di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Fuziah berkata, perkhidmatan Aduan SURI boleh digunakan sebagai saluran aduan menerusi Kod QR dan aplikasi WhatsApp.
“Dengan adanya kemudahan ini, kami berharap pengguna dapat memanfaatkan semua saluran aduan yang disediakan serta membantu kerajaan membanteras salah laku peniaga atau pelanggaran undang-undang di bawah seliaan KPDN,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, Program BRR yang menjadi sebahagian inisiatif di bawah Program Payung Rahmah bertujuan mengurangkan kos sara hidup rakyat dengan menawarkan hidangan berbuka puasa pada harga berpatutan.
Katanya, semua peniaga BRR digalakkan menyediakan menu Rahmah pada harga RM5 dan ke bawah sebagai pilihan tambahan dengan sebanyak 95 lokasi terlibat dalam pelaksanaan BRR di seluruh negara, termasuk 10 lokasi di Pulau Pinang pada tahun ini.
Dalam pada itu, katanya, setiap peniaga yang menawarkan menu Rahmah di Bazar Ramadan Rahmah layak menerima insentif e-dompet sebanyak RM100, manakala peniaga Menu Rahmah diberikan baucar RM50 untuk mengisi minyak di stesen Caltex.
Menurutnya, KPDN turut bekerjasama dengan Pertubuhan Pemuda GEMA Malaysia melalui Program MYSaveFood Ramadan 2025 membabitkan 68 Gerakan Pengguna Siswa (GPS) di 65 bazar Ramadan seluruh negara membabitkan 846 sukarelawan daripada 42 Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan 26 Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.