KAJANG: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memastikan tiada pakatan atau kartel mengambil kesempatan pada masa harga ayam diapungkan ketika ini.
Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh berkata, pihaknya akan memastikan bukan saja harga ayam terkawal di peringkat runcit malah di peringkat pengeluaran.
“Kita akan sentiasa kawal bukan saja di peringkat runcit menggunakan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723) serta Akta Perlindungan Pengguna, malah kita juga akan kawal di peringkat pengeluaran menggunakan Akta Persaingan.
“Contohnya kalau berlaku keadaan yang mana ada pakatan atau kartel untuk menaikkan harga di peringkat pengeluaran jadi itu juga boleh diambil tindakan, kita guna akta lain seperti Akta Persaingan untuk memastikan kartel tidak mengambil kesempatan.
“Jika kartel berpakat dan harga itu naik dengan contohnya membabitkan makanan ayam di peringkat pengeluaran, mungkin itu ada kesan di peringkat peruncit dan pengguna. Kita akan lihat di situ dari segi Akta Persaingan,” katanya selepas bersama KPDN melakukan pemeriksaan dan pemantauan harga ayam di Pasar Awam Kajang, di sini, hari ini.
FOTO : DILAMPIR
Fuziah bercakap kepada wartawan ketika Pemeriksaan dan Pemantauan Harga Ayam di Pasar Awam Kajang. FOTO NSTP
Harga siling ayam ditetapkan pada kadar RM9.40 sekilogram (kg) namun Isnin lalu kerajaan mengumumkan penamatan sepenuhnya pemberian subsidi dan harga kawalan bagi ayam bermula 1 November.
Fuziah berkata, memasuki hari ketiga pengapungan harga ayam, KPDN mendapati harga purata bagi ayam bersih standard di peringkat nasional ialah RM8.51/kg, harga purata di Semenanjung adalah RM8.46/kg.
“Sementara itu, harga purata bagi ayam bersih standard di Sabah adalah RM11.61/kg, Sarawak adalah RM10.14/kg dan Wilayah Persekutuan Labuan pula adalah RM12.50/kg.
“Maklum balas peniaga setakat ini mereka berpuas hati dan lega kerana harga diapungkan. Akan tetapi saya juga mengingatkan peniaga jika sesuka hati menaikkan harga, mereka juga akan rugi sebab pengguna juga ada hak tidak membeli.
“Jika peniaga tawarkan harga tidak munasabah, KPDN boleh gunakan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723) untuk peniaga itu dikenakan tindakan,” katanya.
Beliau berkata, peniaga ayam juga diingatkan tidak mengenakan kos tersembunyi seperti upah potong ayam.
“Ada juga peniaga yang sebelum ini apabila kita kawal harga lalu mereka tambah harga dengan cara lain menerusi kos tersembunyi seperti upah potong. Ini menyalahi jika tidak jelas, upah potong itu boleh tetapi perlu tulis dijelaskan dan dipamerkan,” katanya.
Fuziah berkata, pemantauan giat dilaksanakan termasuk operasi Ops Samar yang mana penguat kuasa KPDN menjalankan pemantauan di lapangan dengan memakai pakaian biasa tanpa mengenakan seragam.
Sementara itu, KPDN akan mengumumkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali pada 6 November ini.
“Tentu sekali kita mengambil kira keperluan perayaan Deepavali. Selalunya kita letakkan harga maksimum untuk barang keperluan asas khusus waktu perayaan tertentu.
“Seperti Deepavali, Aidilfitri atau Tahun Baharu Cina kerana setiap perayaan ada keperluan khasnya masing-masing. Untuk perayaan terdekat, kita akan kawal tujuh hari sebelum Deepavali hingga selepas Deepavali,” katanya.
| ARTIKEL BERKAITAN
- [VIDEO] PM setuju subsidi, kawalan harga ayam & telur diteruskan
- Harga ayam di Kelantan mula turun, RM8 sekilogram
- Pengapungan harga ayam: Kerajaan yakin kenaikan harga mendadak tidak akan berlaku
- [VIDEO] Subsidi, kawalan harga ayam tamat Rabu ini
- [VIDEO] Peniaga lega kawalan harga dan subsidi ayam ditamatkan