Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Dakwaan terdapat dua individu memiliki nombor kad pengenalan sama sebagaimana sedang tular di aplikasi WhatsApp dan media sosial ketika ini, adalah kes sekitar tahun 2020 yang ditularkan semula.
Menerusi kenyataan hari ini, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memaklumkan, perkara tersebut telah diselesaikan serta pemilik MyKad tersebut masih lagi memegang nombor Kad Pengenalan itu dan masih berdaftar sebagai pemilih.
“Siasatan ketika itu mendapati kekeliruan yang berlaku disebabkan terdapat kesilapan semasa proses mendaftarkan nombor telefon dengan pihak Telco berkenaan. Kedua-dua individu tersebut memiliki nombor kad pengenalan yang berbeza di dalam sistem JPN,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan sama turut memaklumkan, warganegara Malaysia hanya akan diberikan dengan satu nombor kad pengenalan dua belas digit unik yang mana nombor berkenaan dijana sistem menggunakan formula tertentu.
Menurut JPN, pihaknya tidak pernah mengeluarkan nombor kad pengenalan yang sama kepada individu berbeza.
“JPN meminta orang ramai tidak mempercayai dan tidak menyebarkan maklumat palsu berkenaan bagi mengelakkan sebarang kekeliruan di kalangan masyarakat. Tindakan undang-undang boleh diambil bagi penyebaran maklumat yang tidak benar oleh individu yang tidak bertanggungjawab,” menurut kenyataan itu.
Sebarang pertanyaan dan kekeliruan berkaitan perkhidmatan JPN, orang ramai dinasihatkan untuk hadir ke mana-mana pejabat JPN atau menghubungi Unit Komunikasi Korporat JPN di talian 03-8880 7077 atau e-mel ke [email protected].
Dalam kenyataannya pada 2020, JPN menafikan dakwaan berkenaan dan menjelaskan kedua-dua individu tersebut memiliki nombor kad pengenalan yang berbeza di dalam sistem JPN.